PUTRAJAYA: Situasi semasa di Asia Barat kekal stabil dan dianggap selamat untuk dilawati, kata Kementerian Luar hari ini.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu juga berkata, tiada keperluan bagi usaha pemindahan pulang rakyat Malaysia, termasuk pelajar di sana.

"Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara tetap menjadi keutamaan Kerajaan. Pada masa ini, tiada keperluan pemindahan pulang rakyat Malaysia, termasuk pelajar Malaysia di rantau ini.

"Bagi memastikan tindakan segera dan berkesan dapat diambil sekiranya menghadapi situasi kecemasan, Kementerian Luar telah menubuhkan bilik operasi yang memberi tumpuan kepada Iran, Iraq, Jordan dan Lubnan untuk memantau perkembangan di rantau ini dari semasa ke semasa," kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, katanya kerajaan menggesa semua rakyat Malaysia yang bermastautin atau melancong ke kawasan berkenaan untuk tetap berwaspada dan terus mengikuti perkembangan situasi semasa.

“Adalah penting untuk mematuhi peraturan dan panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan di negara-negara terlibat.

“Rakyat Malaysia juga digalakkan untuk mendaftarkan diri dengan Kedutaan Besar Malaysia di negara yang berdekatan untuk memudahkan komunikasi dan bantuan dalam situasi kecemasan,” katanya.